Friday, July 11, 2008

Congkak


Assalamualaikum para pembaca.



Hari ini,saya hendak berbual tentang alat permainan tradisional melayu iaitu congkak.Saya baru sahaja tahu bagaimana hendak bermain congkak semasa saya,rakan-rakan sekolah saya dan juga guru saya pergi ke Sabak Bernam,Selangor pada cuti bulan Jun lepas.Kami ke sana untuk aktiviti 'Homestay'.Sampai sahaja di sana,kami disajikan dengan kuih muih dan air kelapa.Kami pun mencari tempat untuk duduk sambil menikmati juadah yang disediakan.Selepas makan,kami menunggu yang lain untuk menghabiskan makan mereka.Sambil menunggu,tuan rumah menyarankan kita untuk meluangkan masa dengan bermain congkak.Di situ,terdapat lebih lima papan congkak.Kami pun bergilir-gilir untuk main.Sebenarnya,saya tidak mahir dalam permainan congkak.Jadi saya diajar bagaimana hendak bermain dan akhirnya saya sudah mahir.

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.


Sekarang,saya hendak terangkan bagaimana papan congkak dibuat.Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.


Saya akan terangkan bagaimana cara bermain congkak.Pertama,saya hendak memberitahu apakah yang kita perlukan untuk bermain congkak.Kita perlukan:


>>>Papan Congkak

>>>Biji Guli/Biji Getah dll

>>>Dua Orang Pemain


Dua orang sahaja yang boleh bermain dalam satu masa.Kedua-dua pemain harus duduk berhadapan menghadap papan congkak.Ia dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mengambil guli di kampung masing-masing dan masukkan guli satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.Gerakan diteruskan hingga guli yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya guli itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua guli (jika ada) di dalam kampung tersebut.Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil guli yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya guli terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.


Itu sahaja yang saya dapat terangkan.Sekarang,saya hendak bincangkan bagaimana kita boleh menarik minat remaja sekarang untuk tidak menyisihkan permainan tradisional seperti congkak.Baru-baru ini,panggung wayang terutama di Malaysia dan Singapura digegarkan dengan filem seram yang diberi nama Congkak.Pada pendapat saya,filem itu dapat menarik minat penonton untuk cuba bermain permainan tradisional itu.Tetapi ada juga buruknya.Ini kerana,filem congkak adalah filem seram dan ia boleh membuat orang berfikiran negatif seperti takut hendak bermain congkak.


Itu sahaja untuk hari ini.Insya Allah,saya akan menerangkan tentang permainan tradisional yang lain jika saya ade masa.Salam hormat dari saya,assalamualaikum.

0 comments: