Sunday, July 27, 2008

Penggulung...

Assalammualaikum para pembaca,

Tarikh hari adalah 27 Julai 2008.Sekejap sahaja masa berlalu.Saya berasa lega kerana berjaya menghabiskan entri saya.Saya sudah menulis 10 entri.Cukup di sini sahaja.Walaupun 10 cukup untuk pertandingan blog,saya tetap akan menulis entri saya jika masa menyebelahi saya.Mengikut undian yang disediakan di blog saya,62 peratus tidak berminat dengan permainan tradisional manakala hanya 37 peratus yang berminat.Ini menunjukkan yang permainan tradisional sudah pupus dek zaman.Walaupun begitu,saya tetap boleh tersenyum kerana mengikut undian,75 peratus berminat hendak mencuba bermain permainan tradisional ini,dan 25 peratus kurang pasti.Lebih mengembirakan,0 peratus tidak mahu mencuba bermain.Ini menunjukkan yang mereka juga ada minat untuk bermain permainan tradisional ini.Kita mestilah sama-sama memastikan yang permainan tradisional tidak pupus dek zaman!..

Setingi-Tingi Penghargaan Kepada....

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih ke atas gambar-gambar,lagu dan juga penerangan yang saya gunakan untuk mencantikkan blog ini.Ribuan terima kasih saya kepada:

~Gambar Gasing yang ditukil dari: www.pbase.com
~Gambar Congkak yang ditukil dari: www.malaysiana.pnm.my
~Gambar Sepak Takraw yang ditukil dari: www.boards.ign.com
~Gambar Batu Seremban yang ditukil dari: www.phayung.blogspot.com
~Gambar Teng-Teng yang ditukil dari: www.commons.wikimedia.org
~Gambar Guli yang ditukil dari: www.militantplatypus.com
~Gambar Galah Panjang yang ditukil dari: www.myuae.typepad.com
~Gambar Konda-Kondi yang ditukil dari: www.chonghwaki.edu.my
~Gambar Wau Bulan yang ditukil dari: www.tourism.terengganu.gov.my
~Gambar Chapteh yang ditukil dari: www.puadede.com

Ribuan terima kasih juga kepada:

~Infomasi tentang permainan tradisional ditukil dari: www.malaysiana.pn.my
~Semua lagu yang ditukil dari: www.youtube.com

Dan tidak lupa juga kepada:

~Blog yang memberi peluang untuk saya menulis entri saya: www.blogspot.com

Terima kasih sekali lagi dari saya.Salah dan silap saya memohon maaf.

Galah Panjang


Hais..Saya mengeluh..Kalau lah rumah saya seperti rumah kampung kan bagus..Rumah kampung mempunyai halaman yang begitu luas.Senang bagi saya untuk bermain Galah Panjang.Galah Panjang adalah permainan tradisonal kita juga.Galah Panjang adalah permainan yang saya gemari.Kali terakhir saya bermain semasa saya ke rumah nenek saya di Malaysia.Permainan ini sungguh menarik.Sekarang,saya akan ajar anda bagaimana hendak main permainan ini.
Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.
Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.
Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.
Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.
Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.
Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.
Senang sekali hendak bermain permainan ini.Sampai di sini sahaja.

Konda-Kondi


Konda Kondi.Ape benda itu?.Binatang?.Bangunan?.Ataupun makanan?.Erm.Konda Kondi itu sebenarnya adalah permainan tradisional kita.Saya baru sahaja mengetahui bagaimana hendak bermain pemainan tradisional ini.Ibu saya mengajar saya bagaimana hendak bermain permainan ini.Kami sekeluarga bermain permainan ini di pantai petang tadi.Maklum lah.Cuti sekolah.Jadi kami meluangkan masa lapang bersama keluarga dengan bermain permainan tradisional.Saya rasa,ramai yang tidak tahu bagaimana hendak bermain permainan ini.Jangan risau.Saya akan terangkan.
Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
~Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.
~Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
~Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.
Itu sahaja.Senangkan??..Saya harap anda dapat mencubanya...

Chapteh

Erm...salam sejahtera kepada semua pembaca.Hari ini hari Ahad.Saya tidak tahu hendak buat apa.Jadi,saya mengajak kawan-kawan saya untuk bermain chapteh di bawah blok saya.Pada mulanya,hanya dua dari kami yang main.Ini disebabkan kawan saya yang lain kurang mahir dengan permainan ini.Jadi,saya dan kawan saya yang bernama Didi pun mengajar mereka bagaimana hendak bermain chapteh.Pada mulanya,mereka menghadapi kesukaran bermain chapteh.Lama kemudian mereka sudah mahir bermain.Selepas penat bermain,saya pun pulang ke rumah.Saya membuat sedikit kajian tentang permainan chapteh.Sekarang saya akan memberitahu kajian yang saya jumpa dan juga saya akan mengajar anda bagaimana hendak bermain permaina tradisional ini.

Permainan ini dikenali juga sebagai sepak bulu ayam, sebuyam atau chapteh. Dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau lebih. Jika terdapat ramai yang bermain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang boleh dibentuk.Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.

Sekarang saya akan mengajar anda bagaimana hendak bermain permainan tradisional ini.Sebelum permainan dimulakan undian dijalankan terbelih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara lai lai li tam plong untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.
Pemain disyaratkan menimbang bola bulu ayam tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki (tepi kaki sebelah dalam) sahaja atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan, jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati sekiranya bola jatuh ke tanah.Mata dikira dengan cara, pemain mestilah menimbang bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali, sekiranya pemenang gagal berbuat demikian maka denda terhadap pemain yang kalah akan dikira tamat. Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain yang memenangi disetiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan melebihi dari yang lainnya dikira juara.

Sudah faham?.Saya harap anda faham apa yang dikatakan oleh saya.Sampai di sini sahaja.Nantikan pos saya yang seterusnya
.

Thursday, July 24, 2008

Wau



Kalau bangsa lain ada layang-layang mereka,bangsa kita pula ader Wau.Kata-kata guru saya masih terngiang-ngiang di telinga saya.Wau?.Adakah itu juga antara permainan tradisional kita?.Jawapannya ya.Wau Bulan adalah permainan tradisional yang saya akan bincang pada hari ini.Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah mempercayai ada kaitan di antara semangat angin dan langit.
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.
Pernahkah anda terlintas di fikiran anda bagaimana Wau dibuat?.Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan. Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Baiklah.Sekarang,tiba masanya untuk saya menerangkan cara bermain Wau.Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni. Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
Sampai disini sahaja yang dapat saya terangkan.Saya harap anda dapat mencuba bermain Wau kerana ia lebih menarik dari bermain Layang-Layang.Sekain,terima kasih.

Guli


Salam sejahtera kepada semua pembaca.Hari ini,saya membawa kawan-kawan saya ke rumah saya untuk belajar bersama-sama.Waktu menunjukkan pukul 8 malam.Ibu bapaku berada di luar negara.Jadi saya membawa kawan-kawan saya untuk menemani saya.Sedang kami belajar,tiba-tiba,kami terdengar bunyi guli jatuh.Semua kawan-kawan saya bertempiaran lari ke luar rumah.Saya berasa begitu terkejut melihat gelagat mereka.Saya terus menyuruh mereka untuk masuk kembali dalam rumahku.Saya bertanya kenapa mereka keluar dari rumahku?.Mereka kata kalau bunyi guli jatuh,bermakna terdapat makhluk halus.Saya berasa terkejut dengan jawapan mereka.Permainan tradisional bukan sahaja sudah tidak diperdulikan malahan mereka berfikir negatif terhadapnya.Alahai.Apa lagi.Aku terus menyuruh mereka supaya tidak memikirkan perkara yang karut ini.Aku pun membuka laci almari ku dan mengambil bekas yang penuh dengan guli.Aku mengajar mereka cara-cara untuk bermain.Sekarang,mereka sudah tahu bagaimana hendak bermain guli dengan betul.Jadi,tunggu apa lagi?.Sekarang,saya akan membincangkan tentang alat permainan tradisional yang dipanggil Guli.

Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.

Permainan guli juga mempunyai gelanggang.Sekarang,saya akan terangkan bagaimana hendak membuat gelanggang guli.Satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam 7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m. daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.

Selepas membuat gelanngang,tibalah masa untuk bermain.Bagaimana hendak main?.Senang sahaja.Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan. Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.

Ini sahaja yang dapat saya mengajar anda.Saya harap anda tidak berfikiran negatif terhadap permainan tradisional kita dan juga saya berharap anda semua meraih pengalaman dari blog ini.Sekian terima kasih.

Saturday, July 12, 2008

Batu Seremban



Assalammualaikum para pembaca,


Hari ini,apabila aku terjaga dari buaian mimpiku,aku lihat ibuku sedang menjahit sesuatu.Aku lihat dia sedang menjahit kain yang diisi dengan kacang hijau.Aku begitu pelik lalu aku mendekati ibu dan bertanya tentang apa yang ibu sedang jahit.Ibu mengatakan dia sedang menjahit batu seremban.Batu Seremban juga diantara salah satu daripada permainan tradisional.Batu Seremban tidak begitu terkenal kerana ia sering dimainkan oleh perempuan.Saya akan terangkan tentang Batu Seremban ini.

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.


Buah Satu
Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Buah Dua
Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.
Buah Tiga
Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.
Buah Empat
Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
Buah Lima
Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.
Buah Enam
Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.
Buah Tujuh
Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.

Saya akan terangkan terangkan cara menimbang.Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.

Setelah membaca artikel ini,saya harap anda dapat meraih ilmu dari sini.Baiklah.BYe.

Teng Teng



Salam Sejahtera kepada pembaca,


Petang tadi,saya dan ibu saya mengajak adik saya ke Taman Permainan.Saya dan ibu saya duduk di bangku berdekatan dengan taman permainan itu.Mata saya tertumpu melihat kanak-kanak sedang bermain Teng-Teng.Teng-Teng juga adalah diantara salah satu permainan tradisional.Teng-Teng juga masih terkenal dan sering dimainkan.Aku melihat wajah ibuku.Ibuku tersenyum sambil matanyer melihat kanak-kanak yang sedang bermain Teng-Teng.Aku bertanya kenapa ibu tersenyum.Ibuku memandang ke arah ku.Ibuku mengatakan,semasa ibu di zaman remaja,ibu selalu bermain Teng-Teng bersama rakan-rakannya.Dengan hanya memerlukan kapur untuk melukis kotak-kotak itu,mereka dapat meluangkan masa sambil berseronok.Tetapi,sekarang kita tidak perlukan kapur lagi untuk melukis gelanggannyer kerana ia boleh didapati di setiap taman permainan.Baiklah.Saya ingin menerangkan apa itu permainan Teng-Teng dan bagaimana cara untuk bermain.


Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering memainkan permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.
Di kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas jalan bertar.Teng-teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng-teng.


Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat. Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di dalamnya, samada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati, giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan melompat kedalam setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak ketujuh tanpa melompat kedalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya ia dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah giliranya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.


Baiklah.Sampai di sini.Saya harap,pembaca dapat memahami tentang permainan tradisional.Assalammualaikum.

Sepak Takraw



Salam Sejahtera kepada semua pembaca,


Sepak Takraw,salah satu daripada permainan tradisional.Walaupun permainan tradisional sudah tidak diendahkan,Sepak Takraw tetap terkenal di kalangan remaja.Sepak takraw juga antara sukan yang disenaraikan dalam sukan olimpik.Ini bermakna,sukan Sepak Takraw masih dimainkan.Sukan ini sungguh terkenal di negara-negara asia terutama di Malaysia,Singapura,Brunei dan juga Thailand.Saya cukup senang apabila melihat para remaja seronok bermain sukan Sepak Tarkraw.Lebih senang apabila melihat bangsa lain juga seronok bermain permainan tradisional kita.Baiklah.Saya akan berkongsi sejarah tentang Sepak Takraw.


Permainan sepak takraw wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini.Bola sepak takraw diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.


Baiklah.Saya pasti bahawa semua remaja terutama lelaki tahu bagaimana hendak bermain sukan ini.Walaupun begitu,saya tetap akan menerangkan cara-cara bermain Sepak Takraw kerana tidak semua yang tahu bagaimana hendak main.Dalam permainan sepak takraw, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, pemain lawan mendapat satu mata dan perlawanan berterusan sehingga salah satu pasukan mendapat mata maksimum.Cara mainnya sunggu mudah.Ia seperti kita bermain badminton.Cuma sepak takraw tidak memerlukan raket dan sepak takraw dimainkan secara tiga orang satu kumpulan.


Ini sahaja yang saya boleh kongsikan kerana saya rasa tidak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut kerana sukan ini sudah ramai yang tahu cara bermain.Baikla...terima kasih kerana membaca.

Gasing



Assalammualaikum pembaca,


Permainan tradisional yang saya akan kongsi pada hari ini ialah Gasing.Kini gasing sudah tidak terkenal di kalangan remaja sekarang.Jika anda ke kedai runcit,gasing dijual di sana tetapi ia adalah gasing 'moden' yang dikenali sebagai 'Beyblade' bukan gasing yang selalu orang-orang dahulu main.Hari ini kita tidak akan membincangkan gasing moden,tetapi kita akan membincangkan tentang gasing tradisional kita.

Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini.Kanak-kanak pula lebih gemar bermain dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiznya yang kecil dan mudah untuk dimainkan.


Jika Beyblade hanya ada satu jenis,gasing tradisional mempunyai banyak jenis.Jenis gasing yang ada termasuk gasing jantung, gasing piring, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.


Sekarang saya akan terangkan bagaimana gasing dibuat.Gasing diperbuat dari kayu.Kayu yang paling sesuai ialah dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah.Ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan,besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.


Tibalah masanya untuk saya mengajar anda cara bermain gasing tradisional kita.Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.Pertandingan GasingPertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah.Gasing uri lebih bersifat bebas, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.Bagi Gasing Uri, dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras.Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.

Sekarang,saya akan menerangkan bagaiman hendak bermain Gasing Pangkah yang terkenal pada zaman dahulu.Gasing Pangkah dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.

Walaupun permainan ini sukar dimainkan,anda akan berasa selesa bermain jika anda tahu bagaimana hendak main.Jangan putus asa.Sampai di sini sahaja.Nantikan entri saya yang seterusnya.Terima kasih kerana sudi membaca.

Friday, July 11, 2008

Congkak


Assalamualaikum para pembaca.



Hari ini,saya hendak berbual tentang alat permainan tradisional melayu iaitu congkak.Saya baru sahaja tahu bagaimana hendak bermain congkak semasa saya,rakan-rakan sekolah saya dan juga guru saya pergi ke Sabak Bernam,Selangor pada cuti bulan Jun lepas.Kami ke sana untuk aktiviti 'Homestay'.Sampai sahaja di sana,kami disajikan dengan kuih muih dan air kelapa.Kami pun mencari tempat untuk duduk sambil menikmati juadah yang disediakan.Selepas makan,kami menunggu yang lain untuk menghabiskan makan mereka.Sambil menunggu,tuan rumah menyarankan kita untuk meluangkan masa dengan bermain congkak.Di situ,terdapat lebih lima papan congkak.Kami pun bergilir-gilir untuk main.Sebenarnya,saya tidak mahir dalam permainan congkak.Jadi saya diajar bagaimana hendak bermain dan akhirnya saya sudah mahir.

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.


Sekarang,saya hendak terangkan bagaimana papan congkak dibuat.Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.


Saya akan terangkan bagaimana cara bermain congkak.Pertama,saya hendak memberitahu apakah yang kita perlukan untuk bermain congkak.Kita perlukan:


>>>Papan Congkak

>>>Biji Guli/Biji Getah dll

>>>Dua Orang Pemain


Dua orang sahaja yang boleh bermain dalam satu masa.Kedua-dua pemain harus duduk berhadapan menghadap papan congkak.Ia dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mengambil guli di kampung masing-masing dan masukkan guli satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.Gerakan diteruskan hingga guli yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya guli itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua guli (jika ada) di dalam kampung tersebut.Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil guli yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya guli terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.


Itu sahaja yang saya dapat terangkan.Sekarang,saya hendak bincangkan bagaimana kita boleh menarik minat remaja sekarang untuk tidak menyisihkan permainan tradisional seperti congkak.Baru-baru ini,panggung wayang terutama di Malaysia dan Singapura digegarkan dengan filem seram yang diberi nama Congkak.Pada pendapat saya,filem itu dapat menarik minat penonton untuk cuba bermain permainan tradisional itu.Tetapi ada juga buruknya.Ini kerana,filem congkak adalah filem seram dan ia boleh membuat orang berfikiran negatif seperti takut hendak bermain congkak.


Itu sahaja untuk hari ini.Insya Allah,saya akan menerangkan tentang permainan tradisional yang lain jika saya ade masa.Salam hormat dari saya,assalamualaikum.

Halaman Utama


Assalamualaikum pembaca...Di sini,saya ingin memperkenalkan diri saya dan juga memberitahu kepada pembaca apakah isi blog ini.Sebelum saya memberitahu lebih lanjut,saya ingin memperkenalkan diri saya.Nama saya ialah Lutfil Hadi Bin Mohammad Razif.Saya berusia 15 tahun.Saya menuntut di Sekolah Menengah Fuchun.Saya gemar melungsuri internet dan juga bermain bola sepak.Cita-cita saya adalah hendak menjadi pemberita,wartawan,jurugambar ataupun dj.Ok...itu sahaja.Sekarang,saya akan menerangkan isi blog ini.Blog ini adalah blog tentang permainan tradisional.Seperti mana yang kita ketahui,permainan tradisional sudah jarang dimain oleh masyarakat kita terutama remaja.Ini kerana,dunia semakin moden dan para remaja lebih minat dengan alat permainan moden seperti Playstation.Permainan tradisional seperti,Gasing,Congkak dan juga Batu Seremban sudah tidak diendahkan.Jadi,tujuan saya adalah untuk menarik balik minat masyarakat terutama remaja dalam permainan tradisional.Blog ini akan menerangkan tentang beberapa permainan tradisional dan juga mengajar kita bagaimana hendak bermain permainan itu.Saya ada memasukkan lagu di dalam blog ini.Kebanyakan lagu yg saya masukkan adalah lagu tradisional tetapi terdapat juga lagu zaman sekarang.Ini kerana,ia boleh menarik minat remaja yg sudah tidak mempedulikan permainan tradisional.Jadi,tujuan saya bukan sahaja untuk memasuki pertandingan blogging tetapi juga ingin menarik minat kalangan masyarakat kita untuk tidak menyisihkan permainan tradisonal kita.Saya harap pembaca semua dapat menimba ilmu dan juga berminat dengan permainan tradisional.Saya hendak mengetahui adakah pembaca blog saya suka dengan permainan tradisional.Jadi,saya meletakkan soaln di tepi blog saya dan dari situ,saya dapat mengetahui adakah permainan tradisional masih wujud atau sudah pupus.Ini sahaja dari saya.Salam hormat dari saya,Lutfil Hadi.